Skip to content
Home » News » Kecuaian Punca Hak Anak Terabai

Kecuaian Punca Hak Anak Terabai

kecuaian punca hak anak terabai

Perkahwinan seharusnya menjanjikan ketenangan, kasih sayang dan belas ehsan sesama manusia. Sesebuah perkahwinan itu bertambah lebih bermakna dengan kehadiran anak-anak yang pastinya menceriakan kehidupan berkeluarga sekaligus menjadi pemangkin ikatan kasih sayang ibu bapa dan anak-anak.

Anak-anak bukan sahaja sebagai penyeri dan simbol kasih sayang sesama suami isteri, bahkan mereka merupakan aset dan pulangan pelaburan paling bernilai untuk kehidupan yang mendatang (negeri akhirat). Ini jelas berpandukan Hadith Riwayat Muslim yang bermaksud;

“Daripada Abu Hurairah RA: Apabila mati anak adam, terputuslah segala amalannya, melainkan tiga (3) perkara iaitu; sedeqah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.”

Dalam mendepani kehidupan yang penuh dengan pancaroba seharusnya anak-anak dibekalkan dengan didikan yang sempurna. Selain didikan dari kedua ibu bapa, aspek meterial juga perlu diberi penekanan yang serius, ini kerana anak-anak bergantung harap pada ibu bapa kerana mereka masih belum mampu berdikari dan mencari sumber pendapatan sendiri.

Aspek materi berupa kelengkapan asas kehidupan seharian, keperluan persekolahan, dan perubatan perlu dititikberatkan. Spiritual pula berupa kefahaman tentang perkara berkaitan Ad Deen (Agama) dengan menyakini Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna bukan sahaja agama sembahan ritual semata.

Apabila sempurna keperluan dari sudut spiritual dan material anak-anak, maka lengkaplah tanggungjawab ibu bapa dalam memenuhi tuntutan Nafkah yang digariskan dalam Islam.

Namun, langit tak selalunya cerah. Ditakdirkan bahtera perkahwinan yang dibina hanya bertahan separuh jalan, maka apakah nasib dan masa depan si anak-anak? Siapakah yang akan membela nasib mereka kelak? Bolehkah tuntutan Nafkah anak dibuat selepas perceraian? Apakah hak anak-anak tersebut? Apakah prosedurnya?

Tuntutan Hak Nafkah Anak Selepas Penceraian

Dalam tulisan kali ini, penulis akan membawa pembaca memahami akan Tuntutan Hak Nafkah Anak selepas perceraian dan tindakan yang boleh diambil sekiranya perintah terhadap Nafkah anak tersebut diabaikan. Banyak kes dimana kecuaian punca hak anak terabai.

Nafkah dari sudut bahasa dita‘rifkan sebagai mengeluarkan dan membelanjakan manakala menurut Al Shirbini, dari sudut istilah; nafkah ialah mengeluarkan belanja atau nafkah kepada mereka yang wajib atas seorang itu mengeluarkannya seperti suami menyediakan makanan, minuman, dan pakaian untuk isteri.

Abu Zahrah, dalam Al Ahwal al Syaksiyyah menyatakan kanak-kanak mempunyai tiga hak utama, iaitu hak dipelihara, hak ke atas dirinya yang tertanggung ke atas walinya dan hak untuk memiliki harta.

Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah dirujuk sebagai panduan undang undang di Malaysia menyatakan;

Adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya dengan         mengadakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Seterusnya dalam Al Quran, Allah berfirman;

Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani ‘iddahnya itu ditempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu   yang    menyakiti mereka di tempat tinggal mereka. Dan jika mereka berkeadaan sedang     mengandung makan berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.

Al Sheikh Mohamad Khatib al Shirbini dalam Mughni al Muhtaj menyatakan firman Allah diatas dalam Surah al Talaq ayat 6, dengan jelas menunjukkan kewajiban memberikan nafkah oleh seorang bapa ke atas anaknya.

Nafkah Adalah Tanggungjawab Bapa

Setelah dibentangkan dalil-dalil syara’ dan peruntukan undang-undang sedia ada, kita sepakat mengatakan bahawa kewajiban memberi Nafkah anak adalah tanggungjawab si bapa.

Hal berkaitan Nafkah anak adalah suatu hak yang dijamin dalam Islam. Apabila memperkatakan tentang hak, iainya pasti sesuatu yang boleh dituntut jika tidak dilaksanakan. Perbahasan mengenai hak, terutama Nafkah anak sebelum atau selepas perceraian amat-amat dititik beratkan oleh Islam dan Undang-undang.

Bukti bagaimana Islam benar-benar menjaga hak para penganutnya sehinggakan hak anak tak sah taraf dan hak anak hasil rogol pun telah dibincangkan dan dibahaskan oleh para fuqaha’ serta mendapat tempat dalam peruntukan undang-undang. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam mengharuskan si isteri mengambil harta suami sekadarnya untuk memenuhi keperluan dirinya dan anak-anak. Ini bersandarkan hadith daripada ‘Aisyah RA bahawa Hindun binti ‘Utbah berkata;

Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak           memberi kepada saya belanja yang cukup untuk saya dan anak saya kecuali jika  saya mengambil sendiri tanpa pengetahuaannya. Rasulullah menjawab;          

“Ambillah olehmu daripada harta sekadar yang mencukupi keperluanmu dan anakmu dengan cara yang baik.”

Hadith ini jelas menunjukkan kebajikan dan keperluan anak-anak adalah sesuatu yang amat penting di sisi Islam sehingga Rasulullah S.A.W membenarkan Hindun mengambil harta suaminya walaupun tanpa izin. Hadith ini juga memberatkan lagi bahawa tanggungjawab memberi nafkah terletak pada bahu suami.

Ibn al Humam dalam Fath al Qadir menyatakan tanggungjawab memberikan nafkah kepada anak-anak adalah tidak bersyarat dan bersifat mutlak. Ini bermakna, tidak boleh tidak, nafkah anak wajib dilaksanakan tanpa sebarang unsur pengecualian.

Al Shirbini menjelaskan lagi dalam Mughni Muhtaj, sebab-sebab diwajibkan nafkah ada tiga iaitu:

  1. Dengan sebab perkahwinan,
  2. Dengan sebab keturunan, dan
  3. Dengan sebab milik.

Disini jelas menunjukkan kepada kita, dengan sebab perkahwinan dan keturunan (nasab) menjadi wajib ke atas bapa menunaikan nafkah kepada anak-anaknya. Kewajiban ini terpakai apabila wujud antara syarat-syarat berikut; anak itu belum boleh berdikari, anak itu miskin dan tidak punya harta sendiri, dan bapa itu mampu memberi nafkah.

Kecuaian Punca Hak Anak Terabai

Timbul persoalan, apakah akan berlaku jika bapa sendiri tidak mampu memberi nafkah kepada anak-anaknya. Disinilah kita dapat menyingkap hikmah pensyariatan pembahagian harta pusaka dalam sistem faraid yang mana lelaki memperoleh 2 bahagian daripada perempuan. Indahnya Islam, nafkah anak tidak diabaikan sebegitu sahaja, tanggungjawab menafkahi anak-anak akan berpindah kepada datuknya atau saudara atau kerabat mengikut susunan dalam hukum faraid.

Sebelum menyentuh isu yang lebih kritikal, penulis akan menyentuh berkaitan tempoh perintah bagi nafkah anak. Perintah nafkah anak adalah luput atau tamat apabila anak mencapai umur 18 tahun, namun mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau seseorang yang lain untuk melanjutkan perintah nafkah anak tersebut.

Dalam kes Rokiah lwn Mohamad Idris, yang telah diputuskan hadapan Qadi Besar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, memutuskan untuk menolak tuntutan Plaintif bagi seorang anak yang telah berumur 22 tahun. Ini kerana, anak tersebut telah melepasi umur 18 tahun. Jika sebelum ini, umur maksima anak-anak yang layak ditanggung nafkahnya ialah 15 tahun, pembaharuan yang dibuat ini sedikit sebanyak menunjukkan perkembangan yang positif memandangkan pada umur tersebut si anak masih belum mampu berdikari.

Selanjutnya, berkaitan dengan nafkah sementara. Berpandukan Seksyen 70 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, menyatakan bahawa mahkamah boleh memerintahkan suami untuk membayar nafkah sementara kepada anak sehingga permohonan nafkah anak secara tetap (kes induk) difailkan ke mahkamah dan diputuskan.

Oleh yang demikian, permohonan boleh dilakukan untuk mendapatkan hak nafkah sementara dalam tempoh menunggu perbicaraan bagi kes nafkah anak sehingga perintah nafkah anak diputuskan oleh mahkamah.

Walaupun begitu, permohonan perintah nafkah sementara ini hendaklah didahulukan dengan permohonan kes induk iaitu permohonan nafkah anak (kekal) di Mahkamah Rendah Syariah dan selanjutnya permohonan nafkah anak sementara difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah memandangkan nafkah anak sementara ini berbentuk permohonan perintah berbentuk interim order (perintah sementara).

Kenali Jenis Nafkah

Satu perkara yang masyarakat hari ini terlepas pandang ataupun cuai ialah tidak membuat tuntutan Nafkah anak selepas perceraian. Bila tiada tuntutan nafkah anak, maka tiadalah tuntutan nafkah sementara dan tuntutan tunggakan nafkah anak. Dengan anggapan si bapa dengan suci hati akan menanggung segala perbelanjaan harian si anak, akhirnya si ibu berputih mata kerana terpaksa menanggung sendirian segala kos perbelanjaan membesarkan anak-anak. Nafkah anak pada hari ini, boleh difahami sebagai;

  1. Nafkah tetap anak (secara bulanan)
  2. Nafkah persekolahan anak
  3. Nafkah perayaan (dua pasang baju raya)

Namun, masih berlum terlambat bagi si isteri untuk memfailkan tuntutan nafkah anak ini kerana tiada tarikh tamat tempoh ditetapkan untuk sesuatu tuntutan nafkah anak dibuat walaupun perceraian telah berlaku 20 tahun lepas.

Malangnya, tiada tuntutan nafkah tertunggak selama 20 tahun misalnya, dapat dituntut kerana tiada perintah yang menyatakan bapa wajib menunaikan nafkah selepas berlaku perceraian. Dalam erti kata yang lain, tuntutan nafkah tertunggak boleh difailkan jika wujud perintah nafkah anak dari mahkamah selepas perceraian.

Praktis semasa undang-undang harini beranggapan, jika tiada tuntutan nafkah anak difailkan di mahkamah, anak-anak dianggap masih berkemampuan dan berkeupayaan untuk menyara dan menampung perbelanjaan seharian walaupun dalam jagaan pihak lain.

Hak Anak-Anak Perlu Dituntut

Sebagai contoh, sepasang suami isteri telah bercerai pada Januari 2003. Selepas memahami proses tuntutan nafkah anak, si isteri telah mula memfailkan tuntutan nafkah anak pada Jun 2015. Nafkah anak antara Januari 2003 sehinga Jun 2015 tidak boleh dituntut sebagai nafkah tertunggak, melainkan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamh selepas Jun 2015 berkuatkuasa. Lihatlah betapa ruginya si anak telah terabai dengan tidak mendapat nafkah oleh bapa sendiri dek kecuaian sedikit sahaja dari si ibu.

punca hak anak terabai[Kredit]

Justeru itu, pihak isteri disarankan untuk memfailkan tuntutan nafkah anak sejurus sahaja sahnya perceraian. Isteri perlu lebih prihatin dengan hak anak-anak kerana jika tidak dituntut, ia akan terabai begitu sahaja.

Seterusnya berkaitan dengan kadar nafkah anak, dalam kes Hasanah binti Abdullah lwn Ali bin Muda, mahkamah menetapkan kadar nafkah anak berdasarkan kos penjagaan, pakaian, makanan, perubatan, dan persekolahan serta keupayaan yang kena tuntut ialah RM300.00 sebulan. Mahkamah berpendapat yang nilaian tersebut adalah patut dan munasabah.

Secara tuntasnya, nafkah anak boleh ditentukan melalui persetujun pihak Plaintif atau Defendan dengan kadar nafkah anak yang munasabah setelah mengambil kira perkara asas dalam penentuan kadar nafkah dan pada masa yang sama hendaklah dikemukan hujah-hujah yang menyokong jumlah tersebut. Jika Plaintif gagal berbuat demikian, mahkamah sendiri yang akan menentukan sesuatu jumlah tuntutan nafkah anak.

Kuasa Mahkamag Bagi Mengubah Perjanjian Penjagaan Anak

Seksyen 76 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan kuasa bagi mahkamah mengubah perjanjian penjagaan atau nafkah seseorang anak. Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah syarat-syarat sesuatu perjanjian berhubung dengan penjagaan atau nafkah anak, sama ada perjanjian itu dibuat sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan, walau apa pun peruntukan yang berlawanan dalam perjanjian itu, jika Mahkamah berpuas hati bahawa adalah munasabah dan untuk kebajikan anak itu berbuat demikian.

Peruntukan Seksyen 76 ini telah disentuh dalam kes Norzaini binti Alias lwn Mohamad Sharif bin Mohamad Taib. Plaintif semasa dalam proses perceraian bersetuju untuk melepaskan hak nafkah anak dengan maksud reda nafkah anak itu menjadi tanggungannya. Dalam kes tersebut mahkamah menetapkan perintah tersebut diubah untuk menjamin kelangsungan pendidikan dan kebajikan yang lebih baik dengan bantuan pihak Defendan. Kes diputuskan dengan melihat asas pertimbangan yang utama iaitu kebajikan anak itu sendiri selaras dengan Maqasid Syariah Islam itu sendiri.

Sebagai penutup, penulis ingin nukilkan sebuah hadith sebagai peringatan pada golongan bapa untuk lebih prihatin, dan cakna akan tanggungjawab menunaikan nafkah pada anak-anak dan isteri serta keluarga amnya.

Rasulullah bersabda mafhumnya;

“Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah (fi sabilillah), satu dinar   lagi yang engkau belanjakan pada memerdekakan seorang hamba abdi, satu dinar lagi yang engkau sedekahkan kepada seorang miskin dan satu dinar lagi      engkau belanjakan kepada keluargamu, (maka) yang lebih besar pahalanya adalah engkau belanjakan kepada keluargamu.” 

(Hadith sahih riwayat Muslim)

*Disiarkan melalui ruangan agama Peguam Muslim Menulis, Berita Harian 19 November, 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *