Terdapat banyak kekeliruan dan silap faham mengenai pembahagian harta pusaka. Kami percaya, mesti ramai yang pernah dengar ayat ni, “Kubur masih merah tapi ahli keluarga dah mula berebut harta si mati”.
Tahukah anda, urusan harta adalah urusan yang paling awal perlu diuruskan setelah kematian si mati. Salah faham supaya menangguhkan urusan pembahagian harta seperti ni harus diperbetulkan dalam masyarakat kita. Urusan harta bukanlah urusan yang mudah jika dibiarkan sahaja tanpa diurus dengan baik sejak dari awal.
Hal ini demikian kerana urusan akan menjadi lebih sukar jika dibiarkan sahaja disebabkan waris-waris faraid akan bertambah dan menjadi berlapis-lapis. Situasi ini terjadi kerna apabila seseorang meninggal dunia, harta yang ada secara automatik berpindah hak kepada waris yang berhak.
Selain itu, keadaan menjadi semakin sukar jika perlu mencari kesemua waris faraid dan mendapatkan kerjasama dari mereka.
Bila Pembahagian Harta Pusaka Perlu Dibuat?
Pembahagian harta pusaka boleh dibuat pada bila-bila masa selepas kematian si mati. Namun dinasihatkan agar pembahagian harta pusaka segera diuruskan bagi mengelakkan berlakunya kematian berlapis. Jika kes seperti ini terjadi, urusan pembahagian harta akan menjadi semakin rumit.
Syarat Pembahagian Harta Pusaka
Harta pusaka perlu dibahagikan secara faraid jika si mati tidak meninggalkan harta dengan wasiat.
Jadi, waris-waris yang berhak ialah sebagaimana ditetapkan di bawah Faraid seperti bapa, ibu, isteri, suami, anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan dan sebagainya.
Bolehkah Harta Pusaka Dibahagi Sama Rata?
Harta pusaka boleh dibahagi sama rata dengan syarat semua waris yang terlibat bersetuju.
Tambahan lagi, konsep takharuj juga dibenarkan iaitu waris menarik diri dari menerima harta pusaka (samada sebahagian atau kesemuanya). Dan waris itu boleh memilih samada ingin menerima balasan seperti wang ringgit atau tidak menerima apa-apa balasan. Namun begitu, adalah dianjurkan waris-waris mengetahui dahulu bahagian mereka dalam sistem Faraid.
Dengan cara ini, pembahagian harta akan menjadi lebih mudah kerana melibatkan persepakatan semua pihak yang terlibat.
Untuk melaksanakan takharuj, beberapa perkara perlulah difahami iaitu:
- Penarikan diri daripada menerima harta pusaka boleh dibuat oleh seorang waris atau lebih daripada seorang. Manakala waris yang menerima pula boleh terdiri daripada seorang, lebih daripada seorang atau kesemua waris yang tinggal.
- Waris yang menarik diri boleh bersetuju sama ada untuk menerima balasan, imbuhan atau ganti rugi sebagai ganti tidak mengambil bahagian dalam harta pusaka atau menolak bahagiannya dengan sukarela tanpa apa-apa balasan.
- Balasan, imbuhan atau ganti rugi boleh diberikan kepada waris yang menarik diri sama ada diambil daripada harta waris yang menerima penolakan tersebut atau diberikan kepada waris yang menarik diri itu sebahagian daripada harta pusaka.
- Sekiranya waris yang menarik diri mencapai persetujuan dengan seorang, atau beberapa orang atau kesemua waris yang lain dengan bayaran tertentu kepadanya oleh waris-waris tersebut yang diambil daripada harta mereka, bermakna seolah-olah waris yang menarik diri telah menjual bahagiannya kepada waris lain.
- Sekiranya waris yang menarik diri memberikan bahagiannya kepada waris lain tanpa apa-apa balasan kepadanya, iaitu menarik diri secara sukarela, seolah-olah waris yang menarik diri itu menghibahkan bahagiannya kepada waris yang menerima.
- Sekiranya seseorang waris bersetuju untuk menarik diri daripada menerima harta pusaka dengan mengambil sebahagian daripada harta pusaka, persetujuan ini tidak boleh berlaku di antara seorang dengan seorang atau dengan beberapa orang waris lain, tetapi mestilah melibatkan semua orang waris yang berhak mendapat harta pusaka tersebut.
Penyelesaian Secara Takharuj
Terdapat tiga bentuk penyelesaian secara takharuj seperti berikut:
- Takharuj antara dua orang waris secara percuma atau dengan bayaran.
- Takharuj antara seorang waris dengan waris-waris lain dengan imbalan bahagian tertentu daripada harta pusaka seperti rumah. Dan haknya dalam harta-harta lain diserahkan semuanya kepada waris-waris lain. Rumah itu akan menjadi miliknya seorang dan baki harta pusaka akan dibahagikan kepada waris-waris lain. Perkara ini mengikut persetujuan yang dibuat seolah-olah waris yang menarik diri tidak wujud.
- Takharuj dengan bayaran dari harta lain yang mana pembayaran dibuat secara sama rata sesama waris atau mengikut kadar bahagian mereka dalam pusaka atau mengikut kadar tertentu yang dipersetujui. Bahagian waris yang menarik diri akan dibahagi sama rata atau mengikut hukum faraid atau mengikut kadar sumbangan yang diberikan oleh setiap waris. (Kredit: https://efaraid.mais.gov.my/takharuj)
Jenis Harta Yang Anda Perlu Tahu
Contoh harta alih:
- Duit simpanan dalam bank
- Wang Tunai
- Simpanan KWSP
- Saham (BSKL, SDN BHD, Koperasi, BKRM, ASB)
- Barang kemas atau perabot.
- Kereta atau motor
- Pampasan pengambilan tanah dan sebagainya.
- Pampasan insuran atau takaful
- Tabung Haji
- Binatang ternakan
Contoh harta tak alih
- Tanah
- Rumah
Dimana Untuk Uruskan Harta Pusaka?
Antara boleh menguruskan harta pusaka di tempat berikut mengikut syarat yang telah ditetapkan.
Amanah Raya Berhad
Syarat-syarat yang membolehkan untuk menguruskan harta di Amanah Raya Berhad:
- Harta Alih sahaja, kurang dari RM600,000
- Perlu mengemukakan Sijil Faraid bagi tuntutan pusaka. Pemohon perlu mendapatkan Siijl Faraid di Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Unit Pembahagian Pusaka Kecil
Syarat-syarat yang membolehkan untuk menguruskan harta di Unit Pembahagian Pusaka Kecil (unit dibawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian):
- Harta Alih + Harta Tak Alih dengan jumlah kurang RM2 Juta
- Pemohon perlu membuat carian tanah di Pejabat Tanah. Jenis Carian Tanah dan bilangan salinan yang dikehendaki adalah berbeza mengikut kehendak UPPK masing-masing.
Mahkamah Tinggi Sivil
Syarat-syarat yang membolehkan untuk menguruskan harta di Mahkamah Tinggi Sivil:
- Harta Alih sahaja melebihi RM600,000 ATAU Harta Alih + Harta Tak Alih melebihi RM2 Juta
- Perlu memfailkan Saman Pemula & mengemukakan afidavit dengan menggunakan khidmat Peguam Sivil
Fungsi Mahkamah Syariah Dalam Urusan Pembahagian Harta Pusaka
Dalam urusan pembahagian harta pusaka, Mahkamah Syariah hanya berkuasa untuk mengeluarkan atau membuat keputusan untuk perkara berikut:
- Sijil Faraid
- Tuntutan Harta Sepencarian
- Pengesahan Hibah
- Pengesahan Wasiat (wasiat yang diragui kesahihannya)
Berkenaan Harta Pusaka Berwasiat
Harta pusaka berwasiat ialah apabila si mati mewasiatkan hartanya dengan menyebutkan bagaimana hartanya akan diuruskan untuk dibahagikan kepada waris-warisnya.
Harta pusaka boleh diwariskan kepada pihak lain selain waris (dengan perstujuan atau tanpa persetujuan waris). Namun, hanya 1/3 dari harta pusaka sahaja yang dibenarkan diberi kepada pihak lain di dalam Islam.
Cara Wasiatkan Harta Pusaka Berserta Konsultasi
Untuk memudahkan urusan di kemudian hari, ramai yang memilih untuk mewasiatkan harta secara sendiri dengan hanya memberitahu kepada waris begitu sahaja.
Sebaiknya, apa-apa yang melibatkan wasiat haruslah didokumentasikan supaya adanya bukti apabila kematian berlaku. Tambahan lagi, pengurusan melibatkan wasiat tidak semudah yang disangka kerana melibatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang pewarisan harta pusaka.
Oleh itu, anda boleh dapatkan konsultasi pewarisan harta pusaka dari Syafiq & Co. Kami boleh bantu merancang harta mengikut keperluan individu dengan cara yang betul untuk mengelakkan perebutan harta pusaka di kemudian hari.