Pengurusan harta menggunakan sistem faraid seringkali kita dengar apabila berlakunya kematian. Namun, menjadi tanda tanya bagaimana untuk uruskan harta secara faraid. Apa yang perlu diketahui ialah tidak semua orang memerlukan sijil faraid dalam urusan pembahagian harta.
Dalam artikel kali ini, Syafiq & Co akan menerangkan serba sedikit berkenaan sijil faraid serta perkara-perkara yang melibatkan faraid dan perlu diketahui oleh orang awam.
Apa sebenarnya Sijil Faraid
Sijil Faraid ialah sijil yang digunakan untuk menguruskan pembahagian harta pusaka si mati ke atas waris-waris yang berhak. Sijil ini bertindak sebagai dokumen perakuan bagi menyatakan kesahihan waris-waris yang berhak berserta kadar bahagian yang diperolehi oleh mereka.
Namun, sijil ini hanya dikeluarkan jika wujudnya permohonan dari pihak yang ingin menguruskan harta pusaka si mati mengikut faraid.
Contoh Sijil Faraid
Berikut merupakan contoh Sijil Faraid yang telah dikeluarkan:
Pembahagian Faraid Menurut Islam
Pembahagian faraid ialah pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan menurut al-Quran. Firman Allah SWT:
يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۚ فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِنْ كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِنْ كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu.
Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Nisa’: 11) (https://efaraid.mais.gov.my/EFARAID/k-faraidmais.do)
Cara Pembahagian Faraid
Cara pembahagian faraid secara umumnya diketahui seperti yang ditunjukkan di bawah:
1. Satu perdua (1/2)
1 | Suami | Syarat: Tidak ada keturunan ke bawah |
2 | 1 Anak Perempuan | Syarat: Tidak ada anak lelaki |
3 | 1 Cucu Perempuan | Syarat: Tidak ada i- Anak lelaki/perempuan ii. Cucu lelaki |
4 | 1 Saudara Seibu Sebapa Perempuan (SIBP) | Syarat: Tidak ada i. Bapa ii. Datuk iii. Keturunan ke bawah iv. Saudara seibu sebapa lelaki(SIBL) |
5 | 1 Saudara Sebapa Perempuan (SBP) | Syarat: Tidak ada i. Bapa ii. Datuk iii. Keturunan ke bawah iv. Saudara seibu sebapa lelaki/perempuan (SIBL/P) v. Saudara sebapa lelaki (SBL) |
2. Satu pertiga (1/3)
1 | Ibu | Syarat: Tidak ada i. Keturunan ke bawah ii. Berbilang saudara sama ada SIB/SB/SI lelaki/perempuan |
2 | 2 Saudara Seibu Lelaki/Perempuan atau Lebih | Syarat: Tidak ada i. Keturunan ke bawah ii. Keturunan lelaki ke atas |
3. Satu perempat (1/4)
1 | Suami | Syarat: Ada keturunan ke bawah |
2 | Isteri | Syarat: Tidak ada keturunan ke bawah |
4. Dua Pertiga (2/3)
1 | 2 Anak Perempuan atau Lebih | Syarat: Tidak ada anak lelaki |
2 | 2 Cucu Perempuan atau Lebih | Syarat: Tidak ada i. Cucu lelaki ii. Anak lelaki/perempuan |
3 | 2 Saudara Seibu Sebapa Perempuan (SIBP) atau Lebih | Syarat: Tidak ada I. Bapa ii. Datuk iii. Keturunan ke bawah iv. Saudara seibu sebapa lelaki (SIBL) |
4 | 2 Saudara Sebapa Perempuan (SBP) atau Lebih | Syarat: Tidak ada I. Bapa ii. Datuk iii. Keturunan ke bawah iv. Saudara seibu sebapa lelaki/perempuan (SIBL/P) v. Saudara sebapa lelaki (SBL) |
5. Satu Perenam (1/6)
1 | Bapa | Syarat: Ada keturunan ke bawah |
2 | Ibu | Syarat: i. Ada keturunan ke bawah ii. Ada berbilang saudara sama ada: SIB, SB, SI lelaki/perempuan |
3 | Datuk | Syarat: I. Ada keturunan ke bawah ii. Tidak ada bapa iii. Tidak ada Saudara SIB/SB |
4 | Nenek | Sebelah ibu – Tidak ada ibu Sebelah bapa – Tidak ada ibu dan bapa |
5 | Cucu Perempuan | Syarat: i. Ada 1 anak perempuan ii. Tidak ada anak lelaki/cucu lelaki |
6 | Saudara Sebapa Perempuan (SBP) | Syarat: i. Ada 1 saudara seibu sebapa perempuan (SIBP) ii. Tidak ada keturunan ke bawah iii. Tidak ada bapa/datuk iv. Tidak ada SIBL dan SBL |
7 | 1 Saudara Seibu sama ada Lelaki/Perempuan (SIL/P) | Syarat: i. Tidak ada keturunan ke bawah ii. Tidak ada keturunan lelaki ke atas |
6. Satu Perlapan (1/8)
1 | Isteri | Syarat: Ada Keturunan ke bawah |
7. Satu Pertiga Baki (1/3 Baki)
1 | Ibu | Sekiranya si mati meninggalkan i. Ibu, bapa dan suami ii. Ibu, bapa dan isteri |
Ramai yang bertindak untuk terus menggunakan kalkulator faraid setelah melihat rajah di atas.
Untuk pengetahuan anda, kalkulator faraid hanyalah instrumen yang digunakan untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak sah digunakan dalam tuntutan harta pusaka dan perbicaraan di Mahkamah.
Disebabkan itu, konsultasi dari peguam syarie yang terlatih amat diperlukan dalam usaha untuk memahami setiap butiran berkenaan cara pembahagian faraid dengan betul.
Kes Yang Memerlukan Sijil Faraid
Umum mengetahui bahawa pembahagian faraid tidak memerlukan sijil faraid melainkan terdapat beberapa faktor. Antara faktor yang membuatkan sijil faraid diperlukan ialah apabila melibatkan:
- Harta Alih. Si mati meninggalkan harta alih sahaja dan telah dirujuk ke Amanah Raya Berhad. Pihak Amanah Raya berhad memerlukan sijil faraid sebelum Surat Kuasa Mentadbir dapat dikeluarkan.
- Harta Alih atau Harta Tak Alih Bernilai RM2 juta ke atas. Bagi kes sebegini, ia akan dirujuk kepada Mahkamah Tinggi Sivil. Sijil Faraid diperlukan untuk diekhibitkan bagi mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.
- Permohonan Harta Sepencarian. Apabila isteri ingin memohon harta sepencarian, Sijil Faraid perlu dilampirkan di dalam Permohonan Harta Sepencarian disebabkan isteri perlu menamakan semua nama waris faraid sebagai defendan di dalam permohonan tersebut.
- Berlaku Pertikaian Pewaris Harta. Jika berlaku sebarang pertikaian berkenaan siapa yang akan mewaris harta, maka Sijil Faraid diperlukan untuk menamakan waris yang berhak dan berapa bahagian yang layak diterima oleh setiap waris.
Cara Permohonan Sijil Faraid
Jika anda tergolong dalam 4 golongan diatas, berikut merupakan cara permohonan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah:
- Dapatkan borang MS 3 (Notis Permohonan) dan MS 26 (Afidavit Sokongan) di Mahkamah Syariah.
- Pemohon perlu sertakan Ekshibit Dokumen-Dokumen yang diperlukan seperti: – Salinan sijil kematian si mati – Salinan surat nikah pasangan si mati
– Salinan sijil kelahiran anak-anak si mati
– Salinan sijil kematian bagi waris-waris fardhu si mati yang telah meninggal dunia lebih awal dari si mati
– Lain-lain dokumen yang sesuai sebagai lampiran kepada afidavit sokongan - Setelah borang lengkap, permohonan boleh difailkan di Mahkamah dan bayaran pemfailan perlu dibuat seperti yang telah ditetapkan di Mahkamah
- Notis berkenaan hari perbicaraan akan dihantar oleh Mahkamah. Pemohon perlu hadir pada tarikh yang ditetapkan.
- Pemohon perlu hadir dengan membawa dokumen asal seperti yang diekshibitkan seperti di nombor 2
- Bawa sekurang-kurangnya dua orang saksi bagi tujuan sisatan faraid.
- Setelah Mahkamah berpuas hati, Mahkamah akan memutuskan status permohonan faraid. Jika diluluskan, hakim syarie akan mengeluarkan perintah pengesahan waris dan mengeluarkan Sijil Faraid
- Untuk mendapatkan sijil faraid, anda digalakkan untuk telefon dan bertanyakan status sijil faraid terlebih dahulu.
- Jika sijil faraid telah siap, bayaran perlulah dilunaskan terlebih dahulu dan sijil faraid boleh diambil di pejabat pendaftaran Mahkamah Syariah.
Proses Faraid Memakan Masa Berapa Lama
Tempoh masa untuk menyelesaikan prosedur melibatkan faraid selalunya berbeza bergantung kepada kes dan situasi yang dihadapi. Jika tidak terdapat sebarang masalah dalam pembahagian faraid, proses yang diambil mungkin agak singkat.
Namun, jika berlaku perebutan sesama waris atau terjadinya kematian berlapis; maka proses yang diperlukan akan menjadi lebih lama kerana banyak bukti dan dokumen yang diperlukan. Ada yang mengambil jalan mudah dengan mendapatkan khidmat peguam syarie sebagai pemudahcara.
Jika anda mempunyai permasalahan berkenaan pembahagian faraid atau memerlukan sebarang konsultasi berkenaan cara pembahagian faraid, boleh dapatkan konsultasi dari Syafiq & Co. Syafiq & Co diterajui oleh Syafiq Mukhtar. Beliau merupakan Peguam Syarie yang menguruskan kes-kes di Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.