Skip to content
Home » News » Isu Pernikahan di Luar Negara, Boleh atau Tidak?

Isu Pernikahan di Luar Negara, Boleh atau Tidak?

Pernikahan di luar negara

Pernikahan di luar negara kini menjadi satu perkara yang biasa sehingga ramai terkeliru samada pernikahan luar negara ini boleh atau tidak?

Antara penyebab utama berlakunya perkahwinan di luar negara ialah disebabkan perkahwinan yang tidak mendapat izin wali atau tidak mendapatkan izin isteri terdahulu.

Selain itu, sebab lain berlakunya pernikahan di luar negara ialah kerana kedua bakal mempelai berada di luar negara disebabkan menyambung pengajian.

Pernikahan Di Luar Negara

Melihatkan terlalu banyak kes yang melibatkan nikah di luar negara sehingga ramai yang tertanya-tanya berkenaan apa hukum nikah di luar negara.

Hukum Nikah Luar Negara, Sah atau Tidak?

Persoalannya disini, nikah yang bagaimana? Jika nikah tanpa mendapat izin wali, maka ianya tidak sah dari segi hukum syarak.

Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ بَاطِلٌ بَاطِلٌ فَإِنِ اشْتَجَرُوْا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لاَ وَلِيَّ لَهُ

Maksudnya“Seorang wanita yang berkahwin tanpa izin walinya maka pernikahannya adalah batil, batil, batil. Dan apabila mereka (wali) bersengketa, maka pemerintah adalah wali bagi wanita yang tidak memiliki wali.”

Riwayat Ahmad (24417), Abu Daud (2083) dan al-Tirmizi (1102)

Dalam hadis yang lain, daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, Rasulullah SAW bersabda :

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ

Maksudnya“Tidak sah pernikahan kecuali dengan adanya wali”.

Riwayat Abu Daud (2085) Tirmidzi (1101) dan Ibn Majah (1881)

Namun, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat :

  1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah
  2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah
  3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin.
  4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

(Sumber: Muftiwp)

Hukum Nikah Di Luar Negara Tanpa Wali

Seperti yang disebutkan di atas, hukum nikah di luar negara tanpa wali bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab al-Syafie.

Namun diingatkan bahawa pasangan yang ingin berkahwin haruslah mengikut prosedur yang betul sebelum melangsungkan perkahwinan di luar negara kerana proses pendaftaran perkahwinan di Malaysia akan menjadi lebih rumit.

Cara Mendaftar Perkahwinan di Malaysia

Seksyen 31 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi sudah kembali ke Malaysia perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di sini.

Antara cara untuk mendapatkan surat kebenaran nikah di luar negara:

  1. Mendapatkan surat kebenaran untuk berkahwin di luar negara dari Pejabat Agama negeri masing-masing
  2. Menghadiri kursus pra-perkahwinan
  3. Mendapatkan surat kebenaran poligami (jika tidak mendapat izin poligami daripada isteri)
  4. Kemukakan surat akuan status diri

Sekiranya telah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara, prosedur untuk mendaftar perkahwinan di Malaysia akan menjadi lebih mudah.

Prosedur pendaftaran nikah luar negara
[Kredit]

Prosedur Pendaftaran Nikah Luar Negara di Malaysia

Ramai yang bertanya kenapa perlu daftar nikah di Malaysia jika perkahwinan tersebut telah sah semasa nikah di luar negara. Sebenarnya, nikah tersebut dikira sah namun tidak diiktiraf di Malaysia. Mahu atau tidak, semua perkahwinan perlu berdaftar di Malaysia selepas itu.

Jika pasangan telah berkahwin di luar negara tanpa surat kebenaran Pejabat Agama, prosedur untuk mendaftarkan perkahwinan di Malaysia perlu didaftarkan di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa.

Antara prosedur daftar nikah di Malaysia adalah seperti berikut:

Langkah pertama:

  1. Kemukakan sijil nikah negara berkenaan
  2. Sijil Pengesahan nikah negara berkenaan
  3. Salinan Kad pengenalan pemohon dan pasangan
  4. Salinan Border Pass atau Internasional Pasport
  5. Surat Kedutaan Malaysia di negara yang dinikahi

Langkah kedua:

Selepas perbicaraan dan hukuman dijalankan, kemukakan:

  1. Surat permohonan pendataran nikah luar negara
  2. Salinan hukuman mahkamah
  3. Salinan resit denda
  4. Salinan surat /sijil nikah negara berkenaan
  5. Salinan sijil pengesahan nikah negara berkenaan
  6. Salinan Border Pass / Internasional Pasport
  7. Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan
  8. Salinan surat kedutaan Malaysia di negara dinikahi

Seperti yang telah disebutkan di atas, sangat penting bagi pasangan yang bernikah di luar negara untuk mendaftar perkahwinan di Malaysia. Selagi Mahkamah Syariah tidak memberi pengesahan, maka perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan dan tidak diiktiraf sebagai pasangan yang telah berkahwin.

Antara permasalahan yang akan berlaku ialah anak dari perkahwinan tersebut mengalami kesukaran kerana tidak dapat didaftarkan di JPN disebabkan tiada dokumen yang dapat mengesahkan perkahwinan pasangan tersebut.

Poligami Tanpa Kebenaran dan Nikah Di Luar Negara

Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah maka dia telah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu. (Sumber: Esyariah)

Bagi kes seperti ini, pasangan haruslah melantik Peguam Syarie bagi memudahkan urusan untuk menuntut bela bagi kes poligami tanpa kebenaran. Anda juga boleh dapatkan konsultasi guaman dari Syafiq & Co bagi memudahkan urusan melibatkan kes poligami.

Konsultasi Peguam Syarie Bertauliah

Syafiq & Co turut menguruskan kes berkaitan perkahwinan dan penceraian seperti pengesahan nikah luar negara / poligami, khulu’, ta’liq, pengesahan lafaz cerai dan anggapan kematian.

Syafiq & Co diterajui oleh Syafiq Mukhtar. Beliau merupakan Peguam Syarie bertauliah yang menguruskan kes-kes di Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

konsultasi guaman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *