Skip to content
Home » News » Was-was Lafaz Cerai, Bagaimana Untuk Tentukan?

Was-was Lafaz Cerai, Bagaimana Untuk Tentukan?

was-was lafaz cerai

Kisah penceraian tanpa sengaja sentiasa kita dengari sejak dari dulu. Antaranya, situasi apabila telah berlaku lafaz cerai; tetapi kedua-dua suami isteri masih was-was lafaz cerai tersebut sah ataupun tidak. Yakni telah jatuhnya talak ataupun masih kekal sebagai suami isteri.

Perkara seperti ini sangat penting untuk ditentukan samada jatuhnya talak atau tidak. Kerana antara kesan jika tidak disahkan atau didiamkan ialah dikhuatiri pasangan tersebut bukan lagi dikira sebagai suami isteri.

Justeru, apabila penceraian tidak direkodkan; isteri akan mengalami masalah untuk menuntut hak di Mahmakah Syariah. Selain itu, isteri juga tidak boleh berkahwin selagi mana tidak diceraikan melalui Mahkamah Syariah.

Was-was Lafaz Cerai, Jenis Yang Selalu Terjadi

Pertama sekali, perlu diketahui bahawa terdapat 2 jenis lafaz cerai iaitu secara:

  1. Lafaz sarih (nyata)
  2. Lafaz kinayah (tidak jelas)

Namun terdapat situasi dimana walaupun berlakunya lafaz sarih, masih tetap berlaku was-was apabila melibatkan keadaan tertentu.

Berikut kami rangkumkan lafaz cerai yang menimbulkan was-was jika ia terjadi kepada pasangan yang berada dalam situasi tersebut.

Lafaz Cerai Ketika Marah

Lafaz cerai ketika marah sering terjadi kepada pasangan yang tidak dapat mengawal emosi ketika marah. Ketika itu, memang macam-macam perkataan yang boleh keluar dari mulut pasangan termasuk kalimat cerai.

Apa yang perlu anda tahu, menurut mazhab al-Shafie; talak yang dijatuhkan ketika marah adalah sah. Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan tidak jatuh talak sekiranya marah itu bersifat melampau sehingga hilang akal dan perasaan.

Bagi keadaan ini, jangan buat tindakan secara melulu kerana lafaz cerai ketika marah dikategorikan sebagai lafaz cerai secara sarih. Hal ini sangat penting kerana melibatkan penjagaan nasab, keluarga dan keturunan.

Jadi, suami atau isteri perlu segera rujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah setempat bagi Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai samada lafaz cerai ini dikira sah jatuh talak ataupun tidak.

Lafaz Cerai Tanpa Niat

Situasi seterusnya melibatkan lafaz cerai tanpa niat. Ulama menjelaskan terdapat enam keadaan suami yang melafazkan talak secara sarih tidak menjatuhkan talak:

  1. Orang yang tidur
  2. Orang yang gila
  3. Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  4. Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  5. Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  6. Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur 

Pada menghuraikan keadaan yang ketiga, kami memetik kenyataan daripada kitab al-Muʿtamad fi al-Fqh al-Syafie (4/164) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

“Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat.” (Sumber Mufti WP)

Adakah jatuh talak jika hanya berniat di dalam hati?

Jika hanya berniat (di dalam hati) untuk menceraikan isteri tanpa menyebut lafaz cerai secara jelas atau secara kiasan, talak tidak akan jatuh kepada isteri.

Lafaz Cerai Melalui WhatsApp

Pada zaman yang serba canggih, menjadikan makin mudah untuk melafazkan cerai iaitu dengan hanya melalui WhatsApp.

lafaz cerai melalui whatsapp

[Kredit]

Lafaz cerai melalui WhatsApp adalah sah dan jatuh talaknya sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Pengirim Whatsapp itu adalah dari suami
  2. Penerima Whatsapp adalah isteri
  3. Whatsapp itu dibaca oleh penerima
  4. Suami memang berniat untuk menceraikan isteri

Jika lafaz cerai melalui WhatsApp ditaip secara kinayah, talak tersebut tidak jatuh melainkan jika suami berniat untuk menjatuhkan talak kepada isteri ketika itu.

Namun, terdapat percanggahan pendapat kerana ada sebahagian ulama Islam meletakkan cerai melalui WhatsApp dan seumpamanya adalah talak kinayah. Oleh itu, cara yang paling mudah untuk memastikan berkenaan status perkahwinan ialah dengan merujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah yang berdekatan.

Lafaz Cerai Seorang Diri

Nampak remeh tapi kes seperti ini masih juga terjadi apabila suami sengaja lafaz cerai seorang diri secara suka-suka tanpa sebab. Antaranya mungkin disebabkan suami sengaja ingin merasai pengalaman menyebut kata talak.

Namun tahukah anda, lafaz cerai seorang diri ini dikira sah. Hal ini disebabkan talak jatuh dengan sebab kata-kata berkenaan walaupun ia hanya main-main dan berseorangan tanpa saksi.

Oleh itu, talak ini memang tidak boleh dibuat main kerana hubungan seksual suami isteri selepas ini telah menjadi haram. Namun, pastikan untuk dapatkan pengesahanan Mahkamah Syariah berkenaan status lafaz cerai seperti ini.

Contoh Lafaz Cerai Yang Tidak Sah

Terdapat terlalu banyak lafaz cerai yang tidak sah untuk disebutkan di dalam artikel ini. Jadi lebih mudah jika anda dapatkan konsultasi dari peguam berpengalaman di Syafiq & Co.

Seandainya berlakunya perkara yang tidak diingini berkenaan lafaz cerai tersebut, kami juga boleh membantu untuk menguruskan kes tersebut bagi memudahkan pihak anda.

Lafaz Cerai Tanpa Saksi Di Luar Mahkamah

Bagi situasi dimana berlakunya pergaduhan di rumah dan suami telah melafazkan cerai, maka suami tersebut telah melakukan kesalahan yang perlu dikenakan denda.

Lafaz talak hanya boleh dilakukan di dalam mahkamah dan setelah mendapatkan kebenaran dari mahkamah. Jika berlakunya di luar mahkamah, ia masih perlu dirujuk dan disahkan talak tersebut di mahkamah dengan mengikuti Prosedur Pengesahan Lafaz Cerai.

Bagi kesalahan melafazkan talak dan penceraian di luar mahkamah, kesalah tersebut dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. (Sumber: Esyariah)

Prosedur Pengesahan Lafaz Cerai

Jika suami telah menceraikan isteri di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah, pengesahan lafaz cerai perlu dilakukan samada oleh pihak suami ataupun pihak isteri.

was was lafaz cerai
[Kredit]

Antara prosedur yang perlu diikuti untuk pengesahan lafaz cerai ialah:

1. Pihak suami atau isteri perlu memfailkan Saman (Borang MS 2) dan Pernyataan Tuntutan bagi pengesahan lafaz cerai.

2. Fakta berkenaan perkahwinan perlu diceritakan di dalam Pernyataan Tuntutan (seperti bila berkahwin, berapa orang anak dari hasil perkahwinan)

3. Ceritakan berkenaan fakta dan kronologi lafaz cerai seperti:

  • bila lafaz cerai dilafazkan
  • bila kali pertama dilafazkan (jika dilafazkan lebih dari sekali)
  • dimana lafaz cerai dilafazkan
  • ayat lafaz cerai yang disebutkan oleh suami
  • sejarah lampau sekiranya pernah rujuk atau tidak
  • bagaimana keadaan suami ketika melafazkan cerai
  • saksi ketika kejadian berlaku

4. Sertakan dokumen seperti:

  • kad pengenalan / IC
  • sijil nikah
  • sijil lahir anak
  • I/C saksi (sekiranya ada)
  • dokumen seperti screenshot WhatsApp (sekiranya dilafazkan melalui WhatsApp)

5. Failkan Tuntutan Pengesahan Lafaz Cerai di mahkamah sekiranya sudah lengkap

6. Selepas itu, mahkamah akan beri notis perbicaraan berserta tarikh

7. Plaintif (pihak yang memulakan tindakan) perlu menyampaikan Saman kepada Defendan (pihak yang dikenakan tindakan) secara serahan tangan.

8. Plaintif perlu memfailkan Afidavit Penyampaian sekiranya Saman berjaya diserahkan.

9. Kedua-dua pihak perlu hadir ke mahkamah.

10. Siasatan akan dijalankan oleh pihak Mahkamah dan keputusan akan diputuskan.

Bantuan Guaman dan Konsultasi Peguam Syarie

Jika anda perlukan bantuan guaman dan konsultasi berkaitan perkahwinan dan pernceraian, anda boleh dapatkan konsultasi dari Syafiq & Co. Pastikan tiada lagi was-was setelah anda mendapatkan konsultasi dari pihak kami.

Kami menyediakan konsultasi berkenaan Permohonan berkaitan Perkahwinan dan Perceraian, Pengesahan Nikah Luar Negara/Poligami, Perceraian Fasakh, Khulu’, Ta’liq, Pengesahan Lafaz Cerai dan berkenaan Anggapan Kematian.

konsultasi guaman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *