Skip to content
Home » News » Hak Jagaan Anak Selepas Bercerai, Siapa Yang Lebih Berhak?

Hak Jagaan Anak Selepas Bercerai, Siapa Yang Lebih Berhak?

Anak ialah bukti kasih sayang bagi setiap pasangan yang berkahwin untuk menyerikan rumah tangga yang dibina. Namun, bila rumahtangga yang dibina tadi berantakan, siapa yang akan bertanggungjawab terhadap anak tadi? Oleh itu, kami di Syafiq & Co akan merungkai persoalan berkenaan hak jagaan anak selepas bercerai, siapa yang lebih berhak?

Hak Jagaan Anak Selepas Bercerai

Secara umumnya, jika pasangan yang telah bercerai mempunyai anak yang belum mencapai usia mumaiyyiz; maka ibu lebih berhak. Namun, ibu hanya berhak untuk menjaga anak tersebut melainkan jika ibu telah hilang kelayakan atau gugur hak sebagai penjaga.

Ramai yang tersalah sangka apabila melibatkan usia mumaiyyiz kerana menyangka anak haruslah mencapai akil baligh.

Namun pengertian mumaiyyiz sendiri bermaksud sudah dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Maksudnya disini, usia mumaiyyiz boleh dikatakan bermula pada usia 7 tahun.

Jika anak berumur di bawah usia 7 tahun, maka ibu lebih berhak untuk menjaga anak tersebut sekiranya penceraian berlaku.

Hak Anak Untuk Memilih Penjaga

Bagi anak yang telah mencapai umur mumiyyiz (melebihi umur 7 tahun), pihak Mahkamah akan memberi peluang utuk anak memilih samada untuk tinggal bersama ibu atau bapa.

[Kredit]

Seandainya salah satu pihak tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh anak tersebut, Hakim akan mengendalikan perbicaraan penuh. Pihak Hakim akan mengambilkira beberapa faktor yang mempengaruhi kebajikan anak sebelum keputusan dibuat.

Seringkali pihak yang terlibat akan mencari alasan yang kukuh untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Kami di Syafiq & Co turut boleh membantu pihak yang terlibat untuk memberikan konsultasi berhubung faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh Hakim.

Hak Lawatan Bapa Selepas Bercerai

Apa yang anda perlu tahu ialah berkenaan hak jagaan dan hak lawatan anak. Hak untuk melawat anak akan diberikan kepada pihak yang tidak mendapat hak jagaan.

Jika hak jagaan diberikan kepada ibu, maka pihak bapa mempunyai hak dan boleh memohon untuk mendapatkan hak lawatan.

Di dalam tuntutan hak lawatan, perlulah dijelaskan berkenaan terma-terma semasa melawat.

Seringkali muncul persoalan berkenaan hak lawatan bapa selepas bercerai. Umumnya, mahkamah yang akan menentukan jadual lawatan anak selepas diambilkira faktor-faktor seperti:

  1. Keperluan anak
  2. Jadual harian anak
  3. Jarak antara kedua-dua belah pihak
  4. Faktor-faktor lain yang dirasakan perlu

Seandainya pihak yang mendapat hak jagaan (contoh: ibu) tidak membenarkan pihak bapa untuk melawat, maka bapa boleh melantik peguam syarie. Peguam Syarie akan memfailkan permohonan dengan mengatakan bahawa pihak yang mendapat hak jagaan telah melanggar Perintah Mahkamah.

Permohonan Di Bawah Kes Hak Jagaan Anak

Antara jenis permohonan yang boleh dimasukkan di bawah kes Hak Jagaan Anak ialah:

  1. Hak Jagaan Penuh (ibu) Tanpa Bermalam (bapa)
  2. Hak Jagaan Penuh (ibu) dengan Bermalam (bapa)
  3. Hak Jagaan Penuh (ibu) dengan Hak Lawatan Tanpa Pengawasan (bapa)
  4. Hak Jagaan Penuh (ibu) dengan Hak Lawatan dengan Pengawasan (bapa)
  5. Hak Jagaan Bersama

Penyebab Ibu Hilang Hak Penjagaan Anak

Ibu boleh kehilangan hak penjagaan anak disebabkan beberapa faktor. Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, seorang ibu akan hilang hak penjagaan anak disebabkan:

  1. Jika wanita itu berkahwin lain dengan lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak tersebut dan akan menjejaskan kebajikan kanak-anak tersebut.
  2. Jika wanita itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
  3. Jika wanita itu menukar tempat pemastautinannya bertujuan untuk mencegah kanak-kanak tersebut dari pengawasan bapanya. Kecuali jika wanita itu pulang ke tempat lahirnya selepas perceraian.
  4. Jika wanita itu cuai atau menganiayai kanak-kanak tersebut.
  5. Murtad.

Apabila seorang wanita hilang kelayakan untuk mendapat hak penjagaan anak, susunan keutamaan kepada hak jagaan anak adalah seperti berikut:

  1. nenek sebelah ibu hingga ke atas;
  2. bapa;
  3. nenek sebelah bapa hingga ke atas;
  4. kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
  5. kakak atau adik perempuan seibu;
  6. kakak atau adik perempuan sebapa;
  7. anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
  8. anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
  9. anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
  10. emak saudara sebelah ibu;
  11. emak saudara sebelah bapa;
  12. waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari

Hak Penjagaan Anak Angkat Selepas Bercerai

Bagi kes melibatkan anak angkat, kekeliruan sering terjadi berkaitan hak penjagaan anak angkat apabila pasangan suami isteri telah bercerai.

Jadi, siapa yang layak untuk mendapat hak penjagaan anak angkat?

Untuk pengetahuan anda, Enakmen Keluarga Islam di Malaysia tidak memperuntukkan secara khusus tentang hak jagaan anak melibatkan anak angkat.

Tetapi, kebiasaannya hak jagaan anak angkat akan diberikan kepada ibu angkat – melainkan jika ibu angkat tersebut tidak memenuhi hak kelayakan sebagai seorang penjaga.

Cara Tuntut Hak Penjagaan Anak

Bagi menuntut hak penjagaan anak, kedua-dua belah pihak ibu dan bapa boleh membuat Permohonan Hak Jagaan. Permohonan ini boleh difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah negeri masing-masing.

Pihak pemohon boleh juga melantik peguam syarie bagi membantu dan mewakili pemohon semasa tuntutan sedang berlangsung.

Bantuan Guaman dan Konsultasi Berkaitan Hak Penjagaan Anak

Jika anda perlukan bantuan guaman dan konsultasi berkaitan hak penjagaan anak, anda boleh dapatkan konsultasi dari Syafiq & Co. Kebaikan melantik peguam syarie ialah supaya hujah-hujah yang disampaikan kepada hakim lebih kukuh dan jelas supaya tuntutan dapat difahami oleh Hakim dengan lebih mudah.

Syafiq & Co turut menyediakan konsultasi berkenaan Permohonan berkaitan Perkahwinan dan Perceraian, Pengesahan Nikah Luar Negara/Poligami, Perceraian Fasakh, Khulu’, Ta’liq, Pengesahan Lafaz Cerai dan berkenaan Anggapan Kematian.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *