Ramai yang keliru berkenaan hak suami berkaitan harta sepencarian. Antara soalan yang selalu ditanya ialah bolehkah suami tuntut harta sepencarian?
Umum mengetahui bahawa Islam sangat mengangkat kedudukan wanita. Namun, Islam juga berpegang kepada keadilan tanpa prejudis kepada mana-mana jantina.
Jika sedemikian, adakah suami mempunyai hak dalam soal pembahagian harta sepencarian?
Maksud Harta Sepencarian
Pertama sekali, kami akan rungkaikan dulu beberapa soalan asas yang sering ditanya berkenaan harta sepencarian.
Harta sepencarian bermaksud harta yang diperolehi oleh suami isteri semasa dalam perkahwinan; dengan usaha bersama atau harta yang diperolehi sebelum perkahwinan tetapi dimajukan atau dikembangkan dalam tempoh perkahwinan.
Apa-apa sahaja yang dibeli atau diperolehi selepas berkahwin akan dinamakan sebagai harta sepencarian. Disebabkan itu, suami dan isteri masih mempunyai hak terhadap harta tersebut walaupun dinamakan atas nama seorang individu sahaja.
Contoh Harta Sepencarian
Harta sepencarian boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
- Harta Alih:
- Harta Tidak Alih
Contoh harta alih:
- Duit simpanan dalam bank
- Wang Tunai
- Simpanan KWSP
- Saham (BSKL, SDN BHD, Koperasi, BKRM, ASB)
- Barang kemas atau perabot.
- Kereta atau motor
- Pampasan pengambilan tanah dan sebagainya.
- Pampasan insuran atau takaful
- Tabung Haji
- Binatang ternakan
Contoh harta tidak alih:
- Tanah
- Rumah
Bolehkah Suami Tuntut Harta Sepencarian?
Ya, suami boleh tuntut harta sepencarian berdasarkan jumlah sumbangan suami ke atas harta sepencarian tersebut. Terdapat dua jenis sumbangan iaitu sumbangan secara langsung atau secara tidak langsung.
Contoh sumbangan secara langsung: bayaran ansuran bulanan, wang deposit pembelian harta, kos renovasi, pembayaran cukai / maintenance fee
Contoh sumbangan tidak langsung: urusan rumahtangga yang diuruskan oleh isteri seperti idea, dorongan dan motivasi.
Berapa Harta Sepencarian Yang Boleh Dituntut?
Cara pengiraan harga sepencarian tidak boleh dikira dengan kadar yang tepat. Hal ini demikian kerana pengiraan dibuat berdasarkan beberapa faktor seperti:
- Berapa lama tempoh perkahwinan
- Apa sumbangan pasangan secara langsung dan tidak langsung
- Faktor yang menyebabkan perceraian seperti siapa yang bermasalah dalam rumahtangga tersebut
- Siapa yang akan mendapat hak untuk menjaga anak.
Semua ini dibuat pengiraan bergantung kepada fakta kes.
Bila Boleh Tuntut Harta Sepencarian?
Harta sepencarian hanya boleh dituntut jika berlaku penceraian, poligami ataupun apabila berlaku kematian kepada salah satu pihak.
Bolehkah Suami Tuntut Harta Sepencarian Isteri Yang Meninggal?
Ya, suami mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian isteri yang meninggal.
Tapi perlu diingatkan, harta sepencarian yang dituntut bukan sepenuhnya menjadi hak suami. Terdapat juga waris lain yang mempunyai hak terhadap harta bagi isteri yang meninggal.
Harta milik isteri perlu difaraidkan kepada waris-waris faraid isteri mengikut pembahagian secara faraid:
- Bahagian faraid ½ bahagian: jika suami tidak mempunyai anak sepanjang hidup bersama isteri
- Bahagian faraid ¼ bahagian: jika suami mempunyai anak sepanjang kehidupan bersama isteri
Namun, pengiraan ini bergantung kepada situasi waris asobah. Anda boleh dapatkan konsultasi dari Syafiq & Co untuk penerangan lanjut.
Adakah suami Boleh Tuntut Harta Sepencarian Selepas Bercerai?
Ya, suami boleh tuntut harta sepencarian selepas bercerai. Antara soalan yang sering menjadi pertanyaan ialah bolehkah suami tuntut harta sepencarian jika kereta / rumah dinamakan atas nama isteri?
Jawapannya, boleh. Selagi mana kereta tersebut dibeli semasa dalam tempoh perkahwinan, suami masih berhak untuk menuntut harta sepencarian.
Bagaimana Jika Harta Sepencarian Telah Dibahagikan Mengikut Pembahagian Tertentu?
Jika suami dan isteri telah bersetuju untuk membahagikan harta secara sama rata atau mengikut pembahagian tertentu, pastikan anda berdua mempunyai dokuman yang sah berkenaan perjanjian ini.
Caranya, pastikan anda berdua mengesahkan perjanjian bersama di Mahkamah Syariah dan dijadikan sebagai Perintah.
Bagaimana Cara Untuk Tuntut Harta Sepencarian?
Harta sepencarian boleh dituntut dengan melibatkan Mahkamah Tinggi Syariah. Namun perlu diingatkan bahawa tuntutan harta sepencarian perlu dibuat sebelum pembahagian faraid dijalankan.
Untuk tuntut harta sepencarian, anda perlu:
1. Pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah yang berkenaan dan isi borang permohonan tuntutan harta sepencarian
2. Pastikan semua perkara yang perlu dikemukakan semasa membuat tuntutan seperti:
- Jenis harta – harta alih atau tak alih
- Banyak mana sumbangan dalam pemilikan harta tu
- Dokumen pembelian atau pemilikan harta / aset seperti tanah, rumah, kereta atau syer
- Saksi yang boleh menerangkan bagaimana pemilikan harta / aset itu, sama ada berpunca daripada usaha bersama atau usaha satu pihak saja
- Bukti tanggungan salah satu pihak seperti hutang piutang atau anak dalam jagaan
3. Sediakan juga dokumen yang diperlukan untuk membuat tuntutan seperti:
- Maklumat perkahwinan
- Maklumat pihak penuntut
- Nilai tafsiran harta tersebut oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH)
- Sijil kematian
- Surat mentadbir harta pusaka dan probet
4. Selepas semua borang, dokumen dan butiran disediakan dan permohonan didaftarkan, pemohon perlu menunggu sehingga kes disebut oleh mahkamah.
- Semasa perbicaraan mahkamah, pastikan semua yang diperlukan tersedia dengan lengkap. Semua keputusan akan dibuat berdasarkan bukti-bukti yang ada.
- Apa saja urusan atau pertanyaan berkenaan permohonan, boleh berurusan terus dengan mahkamah.
Berapa Lama Tempoh Masa Untuk Menyelesaikan Prosedur Melibatkan Harta Sepencarian?
Tempoh masa untuk menyelesaikan prosedur melibatkan harta sepencarian selalunya mengambil masa yang agak lama bergantung kepada kes dan situasi yang dihadapi.
Oleh itu, ramai yang memilih untuk melakukan hibah. Hibah selalunya dilakukan bagi memudahkan proses pembahagian harta.
Jika anda mempunyai permasalahan berkenaan pembahagian harta atau memerlukan sebarang konsultasi berkenaan hibah, anda boleh dapatkan konsultasi dari Syafiq & Co. Syafiq & Co diterajui oleh Syafiq Mukhtar. Beliau merupakan Peguam Syarie yang menguruskan kes-kes di Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.
Artikel Berkaitan: Hak Jagaan Anak Selepas Bercerai, Siapa Yang Lebih Berhak?