Dengan renteten beberapa komunikasi di Twider, LG terasa terpanggil untuk menjelaskan intipati undang-undang saman fitnah. Memandangkan masih ada baki beberapa hari sebelum hujahan terakhir saman fitnah anakguam perlu dimasukkan ke mahkamah, ilmu ni masih segar dalam benak.
Berkenaan Undang-undang Saman Fitnah
1) Dalam mana-mana saman fitnah, plaintif kena buktikan 3 perkara yakni:
i) kenyataan defendan adalah fitnah (defamatory). Fitnah di sini bermaksud apa-apa pengataan yang mempunyai kecenderungan merendahkan reputasi plaintif di pandangan masyarakat.
(To clarify: Insult is not defamatory. Vulgar words can be not defamatory. Sarcasm is not defamatory.)
ii) kenyataan defendan merujuk kepada plaintif. Kalau tidak dinamakan secara peribadi sbg si fulan yang dimaksudkan tapi pendengar atau pembaca dapat tahu atau menganggarkan defendan merujuk kepada plaintif, maka itu sudah cukup.
iii) kenyataan defendan disiarkan kepada pihak ketiga. Mudahnya: defendan sampaikan tomahan kepada orang selain plaintif.
2) Selepas plaintif berjaya buktikan 3 perkara ni, defendan pula kena tanggung bola lambung (the ball is in the defendant’s court). Defendan boleh mengakui dan pergi ke kuantum ganti rugi atau naikkan mana-mana pembelaan bagi menafikan kebertanggungjawaban terhadap kenyataan yang dibuat dan disiarkan defendan yang mengandungi fitnah terhadap reputasi plaintif. Pembelaan yang boleh digunakan defendan adalah:
i) Justifikasi – dengan membuktikan KESELURUHAN kenyataan defendan adalah sahih dan benar. Ini dapat dilakukan dengan membuktikan maksud semula jadi, biasa dan inferens kenyataan fitnah dan dengan membuktikan fakta yang menyokong kesahihan maksud kenyataan. Justification is an ABSOLUTE DEFENCE.
ii) Ulasan Munasabah – dengan membuktikan kenyataan adalah a) ulasan berdasarkan fakta sahih dan benar, b) ulasan defendan adalah berkenaan dengan isu hal kepentingan awam serta c) ulasan adalah munasabah. Sebagai contoh: kita boleh kata Najib Bosskurr adalah bodoh. Itu hanya ulasan berdasarkan fakta umum mengenai kehidupan profesional dan peribadinya. Tapi kita tak boleh cakap Najib Bosskurr bodoh macam B*B* kerana itu dah tak munasabah. Fairness is whatever a level headed person deems as fair.
iii) Perlindungan Penuh (Absolute Privilege) – dengan membuktikan kenyataan defendan dibuat dalam prosiding:
- a) parlimen
- mahkamah
- urusan negara rasmi atau
- mana-mana prosiding statutori. Ni kalau kita tengok beruk-beruk yang duduk dalam parlimen jerit-jerit memaki sesama sendiri tu, akan ada yang sebut ‘berani sebut semula luar parlimen’. Kerana dalam parlimen sebutlah fitnah apa pun, semua fitnah itu dilindungi SEPENUHNYA. ABSOLUTE DEFENCE.
iv) Perlindungan Bersyarat – dengan membuktikan kenyataan defendan adalah a) dalam hal kepentingan awam b) defendan mempunyai tanggungjawab moral, sosial atau undang-undang untuk menyebut hal itu c) pihak ketiga mempunyai tanggungjawab moral, sosial atau undang-undang untuk tahu kenyataan defendan tu
v) Penyiaran Tidak Sengaja (Innocent Dissemination) – dengan membuktikan defendan tidak tahu penyiaran kenyataan itu mengandungi fitnah. Selalu terpakai untuk pencetak media.
3) selepas defendan buktikan pembelaan ii) Ulasan Munasabah atau iv) Perlindungan Bersyarat atau v) Penyiaran Tidak Sengaja, plaintif boleh balas atau jawab dengan membuktikan MALICE (Niat Jahat) atau MOTIF TERSEMBUNYI (Ulterior Motive) untuk menafikan pergantungan defendan kepada pembelaan ini.
i) Niat Jahat boleh dibuktikan dengan menyatakan kronologi fakta yang menyokong bahawa defendan buat dan siar kenyataan fitnah terhadap reputasi plaintif secara jahat. Sebagai contoh: kata Atok tua itu Ulasan Munasabah. Tapi kata Atok tua gayut, nyanyuk dan dah nak mampus tapi tak sedar diri. Itu dah jelas dengan niat jahat untuk memburuk-buruk si Atok bagi merosakkan pandangan masyarakat tentang keupayaan politik Atok.
ii) Motif Tersembunyi sebagai contoh dapat dibuktikan dengan melakar kronologi fakta yang menunjukkan defendan bukan buat kenyataan untuk membincangkan hal kepentingan awam tapi sebenarnya untuk menutup kesalahan diri sendiri.
Dengan pemahaman ketiga-tiga peringkat di atas, anda skrg dah boleh mahir isu liabiliti saman fitnah. Bab kuantum, lain tahun LG kongsi. Jangan risau kalau masih gagap bab-bab saman fitnah. Peguam berbelas tahun pun masih kena tegur hakim. Apatah lagi peguam cabuk baru setahun jagung.
Soalan 1 Undang-undang Tort
Jika seorang warga Twider memetik kicipan kita dan kemudian membuat ulasan bahawa kita seorang yang tidak mahir bahasa Inggeris atau tidak tahu baca, adakah ini fitnah?
Bolehlah jawab dalam komen dan saya akan semak dan markahkan.
Every right comes with corresponding duty. You have the right to speak, as you have the duty to ensure it’s not defamatory. Jangan fikir nafsu benak dangkal saja.
Fatihah Iliani Jamhari
Peguambela & Peguamcara