TIADA istilah rogol dalam perkahwinan pada dasarnya. Definisi rogol telah dijelaskan secara tuntas dalam Seksyen 375 Kanun Keseksaan [Akta 574], manakala Seksyen 375A memperincikan kesalahan jenayah suami terhadap isteri berkaitan hubungan seksual.
Rogol Dalam Perkahwinan
Polemik timbul apabila ada pihak yang menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan rogol dalam perkahwinan. Ini berpunca daripada salah faham dan salah tafsir dalam menilai hadith pada teks dan bukan pada konteks sebenar. Rata-ratanya hadith ini didendangkan di meja-meja penceramah masjid dan surau oleh orang yang tidak berkelayakan dalam bidang hadith dan usul fiqh.
Sedangkan Surah al Nisa 4:19 menyebut “…Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik”, bahkan hadith sahih daripada Saidatina ‘Aisyah R.A, dalam Riwayat Tirmizi, Nabi bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap pasangannya. Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap pasanganku.”
Cakupan undang-undang sivil mahupun Syariah sudah memadai apabila Seksyen 375A Kanun Keseksaan dimasukkan dan memperuntukkan jika mana-mana lelaki dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian kepada isterinya atau mana-mana orang lain untuk mengadakan persetubuhan dengan isterinya hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun.
Akta Keganasan Rumah Tangga 1994
Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] juga terpakai dalam menghadapi konflik keganasan rumah tangga. Ditambah pula, bagi pasangan Muslim, Perintah Tegahan Kacau Ganggu dan Injunksi juga boleh diperoleh dari Mahkamah Tinggi Syariah, sebagai contoh, melalui Seksyen 200 Enakmen Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri. Manakala pasangan bukan Islam boleh menggunapakai Akta Memperbaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] yang menguatkan perlindungan sewajarnya.
Polemik ini berterusan menjadi barah kerana masyarakat melihat peruntukan nas dengan satu wajah sahaja. Misalan hadith berkaitan kriteria pemilihan jodoh oleh seorang teruna. Benar, dalam lafaz teks hadith tersebut Riwayat al Bukhari dan Muslim dinyatakan nikahi wanita kerana empat perkara – agamanya, hartanya, rupa parasnya, dan keturunan dan pilihlah yang beragama nescaya beruntunglah kamu. Hakikatnya, panduan pemilihan ini juga terpakai kepada si dara yang berusaha mencari jodoh.
Misalan yang sama dalam konteks hubungan suami isteri, hadith yang masyhur riwayat oleh Zayd Ibn Arqam bermaksud “…Seorang wanita tidak akan (sempurna) menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya, dan sekiranya dia (suami) memintanya (untuk bersetubuh) di atas Qatbi (pelana di atas unta) dia (isteri) (seharusnya) tidak menolak.”
Hadith ini seringkali dijadikan modal menghalalkan dalam kondisi apa pun agar tuntutan seksual suami wajib dipenuhi. Perlu ingati, hadith yang sama turut terpakai kepada suami dalam memenuhi tuntutan batin si isteri. Dalam perbahasan fiqh, Sheikh Islam Ibn Taimiyyah mengatakan seorang suami perlu peka kepada naluri seorang isteri dan jika tidak dipenuhi akan terhukum dosa. Inilah yang dikatakan Hadith Nabawi yang perlu dibaca dengan dua wajah. Seimbang dan tidak berat sebelah.
Kemudian, kita telusuri Surah al Ruum 31:21 yang bermaksud: “…Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Melalui ayat ini, barulah hadith Zayd Ibn Arqam terpakai bila mana apabila wujud kasih sayang dan belas kasihan dalam hubungan seksual, masakan atas tunggangan unta, bahkan dimana-mana sahaja hajat itu boleh dipenuhi selagi tidak menjejaskan prinsip asas moral masyarakat timur.
Kita boleh lihat betapa telitinya Islam mengambil berat tentang wanita sehingga dalam bab azal juga dibincangkan. Azal iaitu satu kaedah perancangan keluarga dan tindakan si suami ini juga perlu dengan izin isteri kerana khuatir dengan tindakan itu menjejaskan kenikmatan isteri.
Akhirnya, dalam menangkis tohmahan sebahagian pihak mengatakan Islam meraikan rogol dalam perkahwinan, semak semula Sirah hidup Baginda Muhammad yang memilik 9 orang isteri ada sebahagian riwayat mengatakan 11 orang isteri. Dalam rekod hadith, tiada satu pun riwayat hadith berkaitan Nabi Muhammad SAW mengasari para isteri apatah lagi melakukan paksaan dalam hubungan seksual.
Fatwa Majlis Kebangsaan juga telah membincangkan hukum suami melakukan hubungan seksual secara paksaan di mana, “Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam, hubungan di antara lelaki dan wanita adalah dihalalkan setelah melalui aqad ijab dan qabul yang sah. Oleh itu muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tiada istilah rogol atau melanggar hak asasi manusia dalam sebuah perkahwinan yang sah dah keganasan rumahtangga yang berlaku adalah lebih bersifat dharar yang boleh di ambil tindakan peruntukan undang-undang sedia ada.”
PENULIS ialah Peguam Syarie yang beramal di Kuala Lumpur, Selangor & Pulau Pinang dan merupakan aktivis MACSA
Tulisan ini telah disiarkan di Utusan Malaysia bertarikh 25.09.2020 juga boleh dibaca disini –
https://macsa.com.my/salah-tafsir-rogol-dalam-perkahwinan-muhammad-syafiq-mukhtar/