IKATAN perkahwinan yang termeterai bukan sekadar menghalalkan hubungan intim. Ikatan ini hadir bersama tanggungjawab. Dalam Surah al-Nisa 4:21 menggambarkan perkahwinan sebagai ‘mithaqan ghaliza’, satu perjanjian yang kuat dan berat. Bertitik tolak daripada lafaz akad yang sah maka bermulalah amanah seorang suami kepada isterinya seperti nafkah isteri. Justeru, sebuah bahtera rumah tangga tidak sewenang-wenangnya berlayar tanpa panduan nakhoda yang tidak bertanggungjawab. Bahkan, perjanjian sesama manusia dalam urusan perniagaan misalnya, jika berlaku sebarang salah laku, pasti akan terima implikasi termasuklah melalui tindakan undang-undang.
Kewajipan Nafkah Isteri
Antara kesan langsung hasil wujudnya perkahwinan adalah kewajipan nafkah isteri ke atas suami, seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Baqarah 2:228. Bahkan dalam perbahasan ilmu fiqh, tajuk nafkah isteri ini dimuatkan dalam hal ehwal perkahwinan. Secara umumnya nafkah dibahagikan kepada dua bahagian. Nafkah zahir dan nafkah batin. Tulisan ini akan menyentuh secara umum tentang nafkah zahir dan batin, serta isu utama bagaimana menuntut nafkah jika tidak dilaksanakan oleh sang suami.
Nafkah zahir adalah kewajipan suami memenuhi keperluan asas seorang isteri, bermula dengan makan minum, tempat tinggal, pakaian, dan perubatan isteri. Era moden kini, realiti yang berlaku turut melihat situasi di mana gaji isteri adalah lebih besar daripada suami dan adakalanya sebahagian kos belanja rumah tangga ditanggung oleh isteri. Dalam keadaan ini, tiga solusi boleh dicapai.
Pertamanya, setelah berlaku perbincangan, isteri menghalalkan perbelanjaannya dengan niat ihsan dan sedekah. Kedua, isteri memberi akad hutang dengan suami, bilamana si suami telah mampu, beliau akan membayar semula kos yang telah didahulukan oleh isteri. Manakala ketiganya, suatu perintah nafkah isteri boleh dipohon di Mahkamah Syariah, sementara mereka masih dalam perkahwinan, jika suami masih culas dan boleh dimohon sebagai nafkah isteri tertunggak. Hal ketiga ini amat jarang berlaku dan hanya wanita cerdik yang terfikirkan langkah ini.
Nafkah batin tidak sekadar hubungan kelamin suami isteri bahkan lebih luas daripada itu. Surah an-Nisa’ 4:19 turut memberikan panduan untuk komunikasi yang baik, panggilan yang mesra dan mengingati saat-saat indah sepanjang melayari bahtera rumah tangga juga adalah suatu bentuk nafkah batin terhadap isteri. Misalnya, mengingati tarikh lahir isteri, tarikh pertunangan, dan tarikh ulang tahun perkahwinan juga merupakan satu bentuk nafkah batin kepada isteri.
Perilaku ini sedikit sebanyak dapat memberi ketenangan kepada isteri daripada sudut emosi dan psikologi, secara tidak langsung isteri akan rasa lebih dihargai. Perlu diingatkan bahawa di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga [Akta 521], keganasan rumah tangga turut ditakrifkan sebagai penderaan psikologi yang menyebabkan kecederaan emosi kepada pasangan.
Tiada siapa yang menginginkan rumah tangga yang gagal. Kerap kali yang terjadi, antara tuntutan asas dalam satu-satu kes perceraian bawah kod kes fasakh adalah suami yang culas menjelaskan nafkah. Maka di sinilah Mahkamah Syariah berperanan dalam membantu wanita-wanita yang teraniaya. Malangnya, kadangkala sudah jatuh ditimpa tangga apabila perintah nafkah yang diperoleh pun masih tiada guna. Sang suami muflis atau telah melarikan diri atau tidak dapat dikesan.
Seksyen 62 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh, apabila menentukan nafkah, memerintahkan orang yang bertanggungan membayar nafkah itu supaya memberi jaminan dengan meletak hak apa-apa harta supaya membayar nafkah atau sebahagiannya daripada pendapatan harta itu. Peruntukan ini berfungsi mendapatkan perintah nafkah yang dipohon dalam tempoh perkahwinan. Jika masih tidak berhasil, boleh diusahakan dengan menggunapakai Seksyen 69(1) pula yang memperuntukkan ‘Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang dan, jika tunggakan itu terkumpul sebelum suatu perintah penerimaan (di bawah prosiding kebankrapan) dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.
Tidak dinafikan usaha menuntut nafkah ini adalah suatu perjuangan dan agak teknikal. Justeru para suami sekalian dijemput untuk sama-sama kita menghayati hadith diriwayatkan oleh Sa’ad Ibn Abi Waqqas bahawa Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: ‘Dan sesungguhnya tidaklah kamu mengeluarkan harta dengan mengharapkan ganjaran dari Allah kecuali pasti kamu akan diganjari sehinggalah sesuatu yang kamu berikan kepada mulut isterimu.’
PENULIS ialah Peguam Syarie yang beramal di Kuala Lumpur, Selangor & Pulau Pinang dan merupakan aktivis MACSA.
Tulisan ini telah disiarkan di Utusan Malaysia bertarikh 07.08.2020.