Tuan Mawardi Che Man, dalam satu slot perkongsian membawa sub-topik “tiada kes untuk dijawab”. Hal ini dinyatakan dalam Seksyen 126 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Jika diteliti kembali, peruntukan ini amat relevan diguna pakai bagi kes-kes yang tidak mempunyai merit dan dakwaan yang tidak mempunyai bukti kukuh.
Saya cuba aplikasikan peruntukan ini dalam satu kes nusyuz. Kita perlu faham sabitan nusyuz bukan ditangan suami. Sabitan nusyuz adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam mensabitkan seseorang isteri itu nusyuz atau tidak. Tidak semudah keluar rumah tanpa izin, suami isytiharkan isteri sebagai nusyuz. Prosedur sabitan nusyuz agak teknikal dan saya tidak berhajat untuk kemukakan disini.
Prosedur Sabitan Kes Nusyuz
Kembali kepada Seksyen 126 7 (a) (b) dan 8 (a) (b);
(7) Jika defendan memilih untuk tidak mengemukakan apa-apa keterangan tetapi memilih untuk mengemukakan hujah bahawa tiada kes untuk dijawab, Hakim hendaklah
(a) merekodkan penghujahan defendan; dan
(b) memerintahkan defendan supaya mengangkat sumpah menafikan tuntutan plaintif, dan jika defendan enggan mengangkat sumpah sedemikian, Hakim hendaklah, tertakluk kepada subseksyen (8), membuang kes defendan dan membenarkan tuntutan plaintif.
(8) Sebelum Mahkamah membenarkan tuntutan plaintif di bawah subseksyen (7), Mahkamah hendaklah—
(a) mendengar dan merekodkan penghujahan plaintif dalam menutup kesnya; dan
(b) memerintahkan plaintif supaya mengangkat sumpah mengakui kebenaran tuntutannya, dan jika plaintif enggan mengangkat sumpah sedemikian, Mahkamah hendaklah membuang kesnya.
Adapun bagi tuntutan Plaintif, Mahkamah akan nilai dahulu keterangan Plaintif dan pembuktiannya. Jika mencukupi, Mahkamah akan luluskan tuntutan Plaintif dengan sumpah. Jika Plaintif enggan, maka tuntutan Plaintif akan ditolak.
Bagi keadaan kes Plaintif tidak cukup pembuktian wajar, Defendan dikehendaki bersumpah dan tuntutan Plaintif akan ditolak. Jika Defendan enggan bersumpah, Mahkamah akan benarkan tuntutan Plaintif.
Jenis sumpah apa yang digunakan oleh Defendan? Yamin al Nafyi iaitu sumpah penafian yang dijalankan oleh muda’alayh (orang kena dakwa/seseorang yang menafikan sesuatu fakta).
Bagi Plaintif pula, sesuai digunakan al Yamin al Mutammimah (sumpah yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak setelah diarahkan oleh Hakim untuk menguatkan perintahnya) atau Yamin al Hasimah (sumpah yang dilaksanakan oleh salah satu pihak atas permohonan pihak lain).
Contoh dalam kes nusyuz, isteri (Defendan) disaman oleh pihak suami (Plaintif) dan apabila terima sahaja Saman & Penyataan Tuntutan pihak isteri boleh merujuk kepada mana-mana Peguam Syarie untuk melihat sama ada Saman/Pliding tersebut mempunyai merit atau tidak. Jika tidak mempunyai merit seperti saya sebutkan pada awal dulu iaitu kes nusyuz banyak melibatkan aspek teknikal, Peguam Syarie yang bijak boleh aplikasikan peruntukan Seksyen 126 (7) dan (8) iaitu “tiada kes untuk dijawab”.
Prosedur ini amat penting dalam memelihara hak dan kehormatan seorang wanita daripada diceritakan kepada khalayak.