Bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga ke 14 April ini, pasti banyak masa terbuang jika tidak dimanfaatkan dengan betul. Lebih malang lagi jika suami atau isteri terpalit dengan ketagihan pornografi.
Berikut merupakan tulisan calon pengajian doktor falsafah (fatwa), Puan Nurul Hasna’ Hazni yang mana kajian peringkat Sarjana beliau ialah “Pembubaran pernikahan akibat Keganasan Seksual dalam rumahtangga: Kajian kes di Mahkamah negeri-negeri utara Malaysia”
Dalam artikel pada kali ini, kami akan menerangkan kajian berkenaan pornografi – punca & solusi buat suami dan isteri yang mengalami situasi yang sama.
Pornografi – Punca & Solusi
Bagaimana jika isteri/ suami mengetahui pasangan mengakses atau ketagihan porno?
Jangan panik. Jangan in denial. Jangan menyalahkan diri sendiri. Jangan malu dan menyembunyikan masalah.
Berhadapanlah dengan tenang dan tegas.
Kuncinya adalah:
- TEGAS.
- Sedar bahawa porno adalah jenayah yang berdosa.
- Tahu kesan porno tidak terhenti cuma khayalan organism sahaja, tetapi membawa kepada keganasan seksual dalam rumahtangga, membawa kepada salah laku seksual dan paling penting, PORNO ADALAH PENGHINAAN TERHADAP PASANGAN.
Bagaimana untuk berhadapan?
(1) Mengadu dan memohon ampun dari Allah. Musibah adalah jalan mudah untuk kita kembali kepada Allah dengan rasa lemah dan tiada upaya.
(2) Ingat waktu dan fakta bila anda mengetahui atau mendapat bukti pasangan mengakses porno. Fakta perlu dikemukakan terus kerana ini bukan masanya untuk kita mendapatkan kepastian dari pasangan. Mendapatkan kepastian adalah tindakan paling bodoh apabila jenayah telah terbukti dilakukan.
(3) Minta pasangan untuk meluangkan waktu dan pilih waktu paling sunyi dari gangguan pihak lain.
(4) Ketika tiba waktu, berkomunikasi dengan tenang. Jangan menangis dahulu. Jangan marah-marah dahulu. Mulakan dengan ayat,
“Abang, pada sekian-sekian waktu saya melihat di phone abang terdapat gambar/ video porno yang disimpan/ yang sedang diakses”
Diam.
“Abang, saya yakin abang tahu bahawa menonton porno adalah dosa dan kemaksiatan”
Diam.
[Kredit]
“Dan saya nak abang tahu bahawa mengetahui suami saya menonton syaitan lain yang bogel telanjang dan jijik berkelakuan binatang adalah PENGHINAAN TERBESAR saya sebagai seorang isteri”
Diam.
“Saya nak abang tahu, betapa hancur luluh hati saya apabila membayangkan suami saya sanggup mengkhianati saya dengan menatap tubuh badan perempuan lain untuk memenuhi nafsu syaitan abang. Itu adalah syaitan yang sedang abang tonton dan saya tidak akan berkompromi untuk membiarkan abang terus bermaksiat dan berlaku zalim mengkhianati saya”
Diam.
“Saya memberi kata dua sahaja kepada abang, sama ada bertaubat nasuha dan bermujahadah untuk tidak lagi menjadi syaitan, atau lepaskan saya kerana saya jijik untuk hidup dengan manusia yang berimaginasi syaitan”.
“Saya minta maaf sekiranya saya belum mampu menjadi isteri yang memenuhi citarasa abang tetapi saya nak abang tahu, kelemahan saya bukan untuk menjadi alasan abang berbuat dosa dan kemaksiatan. Dan saya tidak akan menghinakan diri saya untuk berlutut merayu kerana saya adalah manusia bermaruah yang hanya menjadi hina di hadapan Allah.”
Diam.
Ketika ini menangislah di hadapan pasangan sungguh-sungguh. Hamburkan segala kecewa dengan air mata atau jeritan. Usah dingongoi dan dipanjangkan leteran kerana ayat yang pendek, pedas dan tegas sudah cukup menggambarkan betapa berkecainya perasaan anda sebagai pasangan.
Ketagihan Porno Bukan Salah Pasangan
Ketagihan porno bukan salah pasangan. Malah kajian barat membuktikan ketagihan porno membawa kepada perbuatan menyalahkan pasangan atas ketidakpuasan seksual kerana tidak sama seperti yang diimaginasikan berdasarkan tontonan pornonya.
Dan ketahuilah porno tidak ditonton oleh mereka yang bohsia dan playboy sahaja. Porno diakses oleh semua pihak kerana porno bukan melihat kejadian berdarah bun*h membun*h.
Kerana itu usaha menghentikan perbuatan ketagihan porno memerlukan bantuan.
(a) Bantuan pertama adalah bantuan untuk memberitahu pelaku bahawa pihak terdekat mengetahui perbuatannya. Dan perbuatan tersebut memberi kesan kepada hubungan mereka.
(b) Bantuan kedua adalah pemberitahuan atau peringatan secara berkala bahawa melihat porno adalah HARAM.
Haram di sini bukan sahaja dosa antara pelaku dengan Allah yang boleh dimohon ampun bila-bila masa, tetapi turut melibatkan dosa pelaku dengan pasangan. Kekecewaan pasangan atas pengkhianatan tidak memerlukan waktu terakhir zina telah berlaku, tetapi dimulai oleh melihat tubuh telanjang perempuan/lelaki lain, imaginasi terhadap perempuan/lelaki lain dan paling buruk perbuatan membandingkan tubuh atau aksi pasangan dengan perempuan/lelaki lain.
(c) Bantuan ketiga adalah pemantauan secara berkala terhadap gajet yang boleh diakses internet sama ada komputer, laptop dan handphone. Apa? Suami isteri tak elok tengok phone pasangan untuk elak pasangan sedih sebab rasa tak dipercayai?
Those words are totally bullsh*t.
Alam maya dan gajet adalah sebahagian dari kehidupan manusia. Apa yang diakses, apa yang disimpan dan sebagainya adalah sebahagian dari perjalanan kehidupan.
Lalu dalam rangka membina cinta hingga ke syurga dan saling melindungi dari menjadi bahan api neraka, mengapa perlu disembunyi jika tiada perkara mahu disembunyikan?
(d) Bantuan keempat adalah sama-sama berusaha membina semula percaya dan kasih. Penting untuk pelaku yang telah bertaubat merasakan dia dipercayai semula kerana kepercayaan adalah kekuatan untuk pelaku menjadi lebih baik dan terus bermujahadah.
Percaya tetapi jangan menjadi bodoh.
Kajian master dan PhD saya walaupun di dalam dua fokus yang berbeza, namun merupakan faktor yang datang dari porno.
Kerana itu saya percaya dan yakin, porno bukan bahan jenaka yang boleh dianggap remeh
Industri porno adalah industri yang menghancurkan ketamadunan manusia. Namun mengapa masih ramai yang mencari dan terjebak?
Kerana porno adalah kelazatan syahwah.
La hawlawala quwwata illah billah!
Bantu kami untuk menjemput rahmatMu ke dalam kehidupan kami Ya Rabb!
– Nurul Hasna’ Hazni