Pengabaian, penganiayaan, dan penderaan terhadap manusia khususnya golongan lanjut usia adalah tergolong dalam suatu bentuk keganasan dan jenayah. Tambahan pula kejadian ini berlaku di rumah sendiri yang dilihat sebagai tempat paling selamat untuk berlindung. Siapa sangka sebenarnya pengabaian warga tua dianggap jenayah dan boleh dikenakan tindakan tegas dan boleh dilihat dari dua dimensi berbeza.
Dua Dimensi Keganasan Rumah Tangga
Dua dimensi berbeza keganasan rumah tangga terhadap warga emas:
- Pertamanya (i), keganasan yang berlaku dikalangan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas yang masih dalam alam perkahwinan dan keduanya (ii) lebih kepada keganasan yang bersifat penganiayaan atau penderaan warga tua oleh ahli keluarga sendiri khususnya anak-anak.
- (i) Keganasan ketika usia emas yang masih dalam rumah tangga boleh berlaku berdasarkan beberapa sebab, antaranya faktor emosi dan perasaan, kewangan, dan kurang penghayatan dalam kehidupan beragama. Kemungkinan juga, fatrah umur selepas pencen dijadikan ‘turning point’ untuk mendapatkan semula apa yang didambakan pada usia muda namun tidak diperolehi, contohnya ingin menikahi gadis muda, tetapi atas dasar anak-anak ditahan seketika hajat itu, dan setelah mendapat wang pencen segalanya boleh menjadi kenyataan.
- (ii) Pengabaian warga tua dengan membiarkan hidup mereka melarat, menjadi pengemis untuk meneruskan survival hidup, tidur di kaki lima, dan hidup sebagai gelandangan boleh digolongkan sebagai keganasan terhadap warga tua.
Tulisan kali ini akan lebih memfokuskan dengan melihat aplikasi peruntukan undang-undang yang disediakan sebagai satu jalan untuk melindungi hak dan diri warga emas itu sendiri. Tulisan ini juga ingin mengajak para pembaca khususnya warga emas yang teraniaya untuk (iii) lebih sayangkan diri sendiri, (ii) tahu akan hak sendiri, dan (iii) pertahankan hak tersebut.
Perkara ini amat penting memandangkan ada mangsa yang tidak tahu mereka adalah mangsa keganasan. Takut akan ugutan dan malu pada masyarakat menjadi faktor mereka mengambil jalan mudah dengan mendiamkan perlakuan keganasan sehingga mengalami trauma yang kronik.
Konflik dalam rumah tangga atau lebih khusus melibatkan perlakuan keganasan terhadap warga emas atau granny bashing kurang mendapat liputan media semasa kerana media lebih tertarik untuk membawakan isu berkaitan keganasan terhadap wanita (batterered wife syndrome) dan kanak-kanak (battered child syndrome). Polemik seperti ini dipandang sepi memandangkan tiada laporan khusus atau kajian terperinci yang dilakukan oleh para penyelidik.
Pengabaian Warga Tua Dianggap Jenayah
Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah melalui pindaan terbaru pada 2012 dengan pindaan utama meluaskan tafsiran keganasan rumah tangga tidak terhad kepada keganasan fizikal sahaja bahkan keganasan yang melibatkan emosi, psikologi, mental, dan kesan delusi. Warga emas juga tertakluk kepada Akta ini melihat kepada Seksyen 2 — Tafsiran yang memperuntukkan sebagai orang dewasa yang tidak berkeupayaan. Selain itu juga, akta ini terpakai kepada isteri atau suami, bekas isteri atau suami, kanak-kanak, muslim dan bukan muslim.
Menurut National Center on Elder Abuse (NCEA), tafsiran keganasan atau penderaan terhadapa warga emas telah diperluaskan kepada tujuh kategori meliputi penderaan fizikal, mental, seksual, eksploitasi kewangan, pengabaian, peninggalan langsung (abandonment) dan pengabaian yang dilakukan sendiri (self neglect).
Jika dilihat sepintas lalu, peruntukan Undang-Undang Sivil mahupun Syariah telah menyediakan satu platform undang-undang yang terbaik dengan memperkenalkan pelbagai akta bagi melindungi hak dan kebajikan mangsa keganasan rumah tangga ataupun pengabaian termasuk warga emas. Antaranya, Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973, Akta Perempuan Bersuami 1957, dan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Melalui Undang-Undang Syariah pula, peruntukan Seksyen 52 Akta UndangUndang Keluarga Islam Wilayah Wilayah Persekutuan 1984 menyenaraikan 17 sebab atau alasan yang membolehkan seorang isteri menuntut perceraian secara fasakh. Subseksyen 52 (1) (h) (i) dengan jelas menyatakan;
Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain —
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
Selain itu, melalui peruntukan yang sama dalam Seksyen 127 menyatakan;
Mana-mana orang yang menganiaya isterinya atau menipu harta isterinya melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Langkah-Langkah Yang Perlu Dilakukan Mangsa Keganasan Rumah Tangga
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh mangsa keganasan adalah, memikirkan bagaimana cara untuk menyelamatkan diri. Jika cedera, segera pergi ke hospital untuk dapatkan rawatan. Dapatkan juga laporan perubatan dari hospital kerajaan.
Setelah mendapatkan rawatan di hospital, buat laporan polis untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (Interim Protection Order – IPO). IPO dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret dan bersifat sementara (interim) sedang kes disiasat oleh pihak polis.
Apa Yang Akan Dilakukan oleh IPO?
IPO boleh mencegah si suami untuk terus melakukan keganasan atau gangguan, dan jika ingkar akan perintah ini, si suami boleh ditahan tanpa waran. Jika suami di dakwa dan dituduh menyalahi undang-undang, mangsa boleh memohon Perintah Perlindungan (Protection Order – PO) yang mana skop PO lebih luas berbanding IPO dengan memberi hak supaya si suami tidak mendekati rumah, tempat kerja atau sekolah, dan menghalang si suami bercakap atau menulis surat.
Mangsa juga boleh memfailkan satu pemohonan interlokutari di Mahkamah Syariah dalam masa yang sama memfailkan kes tuntutan cerai secara fasakh. Mahkamah akan mempertimbangkan permohonan mangsa dan mengeluarkan Perintah Tegahan (Injunksi) Kacau Ganggu terhadap suami sehingga kes induk (fasakh) selesai dibicarakan. Bentuk perlindungan ini dibantu oleh pihak berkuasa seperti polis dalam menguatkuasakan perintah. Jika suami berterusan melakukan keganasan, suami boleh didenda atau dipenjara atas kesalahan menghina perintah mahkamah (komital).
Tidak dinafikan, segala peruntukan sedia ada masih wujud lacuna atau kelompongan yang perlu kepada aspek penguatkuasaan dan pelaksaan pada tahap maksimum.
Setelah melihat kepada peruntukan sedia ada, seolah-olah undang-undang hari ini telah lengkap dalam melindungi wanita wanita teraniaya termasuk warga emas di lanjut usia. Selain bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang, penghayatan dan pengamalan hidup dalam beragama hendaklah dipraktiskan secara menyeluruh.
Bagi pelaku keganasan terhadap warga emas dalam kelompok anak anak yang dikategorikan sebagai tanggang moden ini, marilah sama-sama kita menginsafi dengan hati yang paling tulus akan firman Allah dan pesan sabda baginda Rasulullah SAW ini;
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”
(Al Ahqaaf : 15)
Rasulullahlah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:
Adakah kalian mahu ku beritahu tentang dosa-dosa yang besar? Para sahabat menjawab: Kami mahu, ya Rasulullah. Rasulullah bersabda: “Menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibu bapa.”
Seterusnya, bagi pelaku keganasan terhadap pasangan hidup masing-masing suami mahupun isteri, sama sama kita renung dan hayati kehidupan berumah tangga Rasulullah SAW. Baginda seorang Ketua Pemimpin Negara, Ketua Hakim, Ketua Angkatan Perang, dan Ketua Keluarga. Namun masih boleh berlaku baik dan romantik terhadap isteri-isteri baginda, sekalipun tidak pernah meninggikan suara atau memukul isteri-isterinya.
Cara Pukul Isteri Yang Dibenarkan Islam
Pukul yang disyariatkan bukanlah pukul yang mendatangkan mudarat sehingga patah riuk tulang belulang para isteri, dan meninggalkan kesan trauma yang mendalam. Pukul yang dimaksudkan adalah pukul yang bersifat mendidik (Li Ta‘adib) dan lebih bersifat simbolik sahaja sepertimana pukulan yang menggunakan kayu sugi dan sapu tangan yang dilipat. Nyata dan jelas tidak mendatangkan sebarang kesakitan dan kesengsaraan.
Pukul juga adalah bersifat hak si suami (right) dan bukan tugas mutlaq si suami (duty). Ramai para suami muslim salah faham tentang hak mereka dalam mendisiplinkan/mendidik si isteri dengan tidak mengendahkan dua langkah awal iaitu nasihat terlebih dahulu dan mengasingkan tempat tidur.
Apabila memperkatakan tentang hak (right) para suami mempunyai pilihan, sama ada ingin melakukannya atau tidak (pukul). Contoh terbaik yang boleh dijadikan sandaran ialah Baginda Nabi Muhammad sendiri apabila bertindak mendiamkan diri dan beredar dari rumah jika ada perselisihan faham sesama isteri baginda. Tidak sama sekali naik tangan atau mendatangkan kesakitan.
Sebagai penutup, mari sama sama kita hayati hadith yang cukup indah warisan Baginda Muhammad SAW sebagai pedoman bersama.
Dari Umm al Muqmineen, Aishah RA berkata:
Nabi Muhammad SAW bersabda; “Sebaik-baik orang diantara kamu adalah yang berbuat kepada keluarganya (isterinya), dan aku adalah yang terbaik dikalangan kamu terhadap keluargaku”
(HR Al-Tirmizi)
*Disiarkan dalam ruangan agama, Peguam Muslim Menulis, Berita Harian 25 November, 2015.