Adakah anda merupakan isteri yang baru sahaja bercerai dan tersedar berkenaan nafkah isteri tertunggak yang selama ini anda terlepas pandang? Saya akan ceritakan kes nafkah isteri tertunggak sehingga RM90,000.00.
Nafkah Isteri Tertunggak RM90,000.00
Pihak plaintif telah bernikah dengan defendan pada 7 September 1985 dan pasangan ini telah dikurniakan dengan enam orang cahayamata. Plaintif dan defendan telah bercerai pada 17 April 2001.
Keenam-enam orang anak di bawah jagaan pihak plaintif. Plaintif telah memohon tunggakan nafkah isteri sebanyak RM90,000 sepanjang tempoh perkahwinan. Tuntutan nafkah tertunggak plaintif merangkumi nafkah tempat tinggal, nafkah semasa dan selepas bersalin, pembantu rumah, nafkah makan minum dan keperluan peribadi plaintif sejak mereka bernikah 7 September 1985 sehingga mereka bercerai pada 17 April 2001.
Isu yang timbul di sini ialah:
(a) sama ada plaintif layak menuntut nafkah tertunggak sejak awal perkahwinan sehingga mereka bercerai;
(b) sama ada defendan berkemampuan untuk membayar keseluruhan jumlah nafkah tertunggak sebagaimana yang dituntut oleh plaintif; dan
(c) sama ada plaintif layak mendapat nafkah semasa dan selepas bersalin serta kos pembantu rumah.
Diputuskan, membenarkan sebahagian tuntutan plaintif:
(1)
Isteri adalah berhak menerima nafkah daripada suaminya. Defendan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memberi nafkah isteri. Sebelum memutuskan sesuatu nafkah isteri menjadi tertunggak adalah perlu dinilai sama ada pada masa itu suami seorang yang susah atau miskin, suami seorang yang sederhana, atau suami seorang yang kaya. Semua itu mempunyai perbezaan antara satu sama lain.
(2)
Wajib ke atas suami menyediakan tempat tinggal yang layak atau sesuai bagi isteri sama ada miliknya, menyewa, mahupun harta diwakafkan. Tempat tinggal yang sesuai, juga seperti keperluan asas yang lain, ditentukan mengikut kemampuan suami isteri dan kedudukan mereka. Defendan diperintahkan agar membayar nafkah tempat tinggal yang tertunggak kepada plaintif sebanyak RM4350.
(3)
Defendan tidak wajib memberi nafkah untuk kos perubatan semasa mengandung dan selepas bersalin. Kos perubatan sebanyak RM1000 untuk kelahiran anak adalah terlalu tinggi berbanding dengan pendapatan defendan pada masa itu. Sewajarnya plaintif bersalin di hospital yang diperakui oleh kerajaan kerana plaintif bekerja sebagai guru yang dianggap sebagai kakitangan awam.
(4)
Wajib ke atas suami membiayai nafkah pembantu rumah sekiranya suami orang yang berada dan isterinya terdiri daripada golongan orang yang diberi perkhidmatan semasa tinggal bersama ibubapanya. Memandangkan defendan orang susah maka tidak wajib menyediakan pembantu rumah. Plaintif gagal membuktikan bahawa plaintif memang sudah biasa dengan pembantu rumah semasa hidup bersama keluarga plaintif sebelum berkahwin dengan defendan.
(5)
Keperluan asas yang meliputi makan minum dan pakaian mesti disediakan dan amat penting berbanding keperluan yang lain. Persoalan berapa banyak yang mencukupi perlu dilihat kepada kemampuan suami. Plaintif juga layak mendapat perbelanjaan nafkah keperluan diri termasuk pakaian. Defendan oleh itu diperintahkan membayar nafkah makan minum dan keperluan peribadi yang tertunggak kepada plaintif sebanyak RM11,906 sahaja.
[2009] 3 SHLR 125